Tuesday, June 9, 2009

MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSSAN (MPPK)

ISU:

TRANSFORMASI EKONOMI MALAYSIA
KE ARAH PERSAINGAN KOMPETETIF

Disediakan oleh:

Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Pahang(UMP) sesi 2008/2009

PENGENALAN

Dasar Ekonomi Baru(DEB) yang diilhamkan Allahyarham Tun Abdul Razak telah banyak memberikan kebaikan dan membuka ruang-ruang ekonomi kepada rakyat Malaysia. Namun begitu, dasar yang banyak menaungi sebahagian besar orang melayu ini dikatakan tidak mencapai sasaran yang diingini kerana dimonopoli oleh golongan-golongan tertentu. Hasrat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menyatakan semangat DEB sewajarnya diteruskan perlu dipandang serius dari segi pelaksanaannya supaya perkara yang sama tidak berulang. Krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat telah memberi kesan langsung kepada semua negara di seluruh dunia. Malaysia yang masih bergantung kepada eksport dan import dagangan dunia memerlukan pakej rangsangan ekonomi yang membantu menjana prestasi ekonomi negara. Stimulus pakej rangsangan ekonomi ke dua sebanyak RM 60 billion yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 10 Mac 2009 di parlimen mengejutkan banyak pihak dan memberikan keyakinan baru kepada pelabur untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan. Persoalannya, apakah komitmen pihak pemerintah untuk memastikan setiap usaha dan perancangan dilaksanakan dengan baik.

Antara kesan awal Transformasi Ekonomi Malaysia ialah membuka peluang pekerjaan seluas-luasnya kepada rakyat Malaysia. Persoalannya ialah sejauh mana anak-anak muda terutamanya dikalangan graduan tempatan merebut peluang mengisi kekosongan jawatan-jawatan yang sedia ada. Seterusnya mengurangkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. Transformasi ekonomi akan membantu membahagikan kekayaan negara mengikut nisbah populasi setiap kaum. Dengan slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan akan memberi ruang seluas-luasnya kepada transformasi ekonomi yang diharapkan dapat membantu seluruh rakyat Malaysia. Kesan lain yang akan dialami oleh Malaysia ialah peningkatan aliran pelabur asing di Malaysia. Keyakinan pelabur asing seharusnya menjadi keutamaan pemerintah Malaysia dalam memastikan ekonomi terus berdaya saing dan mampan.

KESAN LANGSUNG DAN TIDAK LANGSUNG

Kesan transformasi ekonomi ini secara langsung mampu meningkatkan peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor. Kita dapat melihat pelbagai iklan-iklan tawaran kerja dipaparkan di akhbar-akhbar tempatan menunjukkan ruang kerja yang meluas. Contohnya disektor kejuruteraan, peluang pekerjaan disediakan oleh banyak pihak seperti Petronas, Hicom dan Sime Darby. Ini juga disebabkan oleh peningkatan taraf pendidikan dikalangan masyarakat terutamanya pemuda-pemudi tunjang negara pada masa akan hadapan. Di sini, lahirlah graduan-graduan yang berintelektual dan berdaya saing. Sumber tenaga kerja yang telah dibentuk amat diperlukan disebabkan oleh persaingan kompetitif yang wujud dikalangan syarikat-syarikat yang ingin terus meningkatkan prestasi syarikat masing-masing. Syarikat tempatan akan bersaing diantara satu sama lain bersama-sama dengan syarikat dari pelabur asing. Kesan pertambahan peluang pekerjaan ini juga mampu membasmi kemiskinan dan pengurangan kadar pengangguran disamping meningkatnya taraf hidup di semua lapisan masyarakat. Kesan tidak langsung dari penyertaan pelaburan asing ke negara ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada penambahan ilmu kepakaran dan kemodenan dari segi infrastruktur.

Seterusnya, antara kesan lain ialah mengurangkan jurang ekonomi antara kaum khususnya dari segi pendapatan isi rumah, pemegangan ekuiti, pemilikan harta, dan produktiviti.

Malaysia merangkumi tiga kaum utama iaitu Bumiputera sabanyak 65% dan bukan Bumiputera yang mencangkupi Cina sebanyak 25% dan India sebanyak 7% dan bakinya terdiri daripada kaum-kaum lain. Oleh itu dalam merealisasikan transformasi ekonomi, pembahagian harta kekayaan yang perlu dikuotakan di negara kita seharusnya mengikut nisbah populasi kaum di negara ini bagi menjamin pembahagian harta secara adil dan seterusnya mengurangkan jurang antara kaum di Malaysia.

Kita sedar bahawa dalam Rancangan Malaysia ke-9, pelbagai langkah telah diambil oleh pemerintah dalam membasmi kemiskinan yang secara tidak langsung dapat mengurangkan jurang ekonomi antara kaum. Pemerintah telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007 dengan bermatlamatkan kemiskinan tegar dapat dihapuskan menjelang tahun 2010. Oleh itu, dalam membentuk transformasi ekonomi kearah persaingan kompetetif, pemerintah seharusnya menukar bantuan yang diberikan untuk jangka masa pendek kepada bantuan yang dapat diperkembangkan ibaratnya seperti memberi joran dan diajarkan kepada mereka untuk memancing ikan. Pada masa kini dibawah pemerintahan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri yang baru, pemerintah akan membangunkan sektor perkhidmatan dan juga menggalakkan sektor pembuatan yang menjadi peneraju kekayaan negara. Justeru, pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) perlu mengambil peluang ini dalam menjadi pengeluar yang kompetitif bagi memastikan kelangsungan produk mereka kekal dalam pasaran dan seterusnya jurang antara kaum dapat dikurangkan dan memastikan pembangunan dan kemajuan negara dalam keadaan stabil.

Salah satu kesan daripada transformasi ekonomi Malaysia ke arah persaingan kompetetif adalah lebih banyak aliran pelaburan asing berlaku. Peningkatan aliran kemasukan pelaburan asing akan membantu prestasi ekonomi sesebuah negara. Perpindahan teknologi dan kemasukan buruh mahir asing secara tdak langsung dapat meningkatkan pertumbuhan negara melalui perkongsian maklumat dan perpindahan teknik-teknik pengeluaran yang cekap. Peluang pekerjaan domestik dan tenaga mahir serta separa mahir tempatan akan meningkat disebabkan oleh aktiviti pelaburan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di negara ini. Selain itu, kemasukan pelaburan asing akan meningkatkan defisit akaun pendapatan pelaburan negara kerana penghantaran pulang pendapatan pelaburan oleh negara asal. Tambahan pula, liberalisasi perdagangan dan liberalisasi kewangan yang berlaku menyebabkan aliran dana antara negara agak bebas bergerak dari satu negara ke negara yang lain.

KRITIKAN DAN PEKARA YANG PERLU DIAMBIL BERAT

Transformasi ekonomi merupakan agenda penting negara yang memerlukan usaha dan komitmen berterusan terutamanya daripada pemerintah Malaysia. Rakyat pada amnya meletakkan harapan tinggi terhadap kepimpinan negara Malaysia di bawah Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak untuk memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada lebih stabil dan mampan. Pemerintah Malaysia seharusnya mengambil berat soal daya tahan ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang dan pendek. Daya tahan ekonomi Malaysia terhadap spekulator asing yang mengancam kestabilan akan mempengaruhi pelabur asing masuk ke dalam pasaran Malaysia. Antara langkah-langkah Transformasi Ekonomi yang perlu dilakukan terlebih dahulu ialah:

1. Kestabilan politik Malaysia

-Pihak pemerintah bersama-sama pihak pembangkang seharusnya lebih proaktif mencari titik persamaan dan membantu meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia. Parti pemerintah seharusnya mengamalkan semangat demokrasi yang tulen dalam usaha membantu kesenangan rakyat. Transformasi ekonomi hanya akan berjaya apabila kestabilan politik dapat dicapai melalui pengamalan semangat demokrasi yang tulen.

2. Memperteguh sistem kehakiman dan perundangan negara

-Sistem kehakiman di negara kita seharuslah berada di tahap yang tertinggi dari sudut integriti demi menjamin kelangsungan ekonomi agar tumbuh dengan lebih mampan. Sistem kehakiman hari ini dapat dipertingkat dengan wujudnya sistem perlantikan hakim dengan lebih efisyen dan telus. Hal ini sangat penting kerana seseorang hakim merupakan tunjang kepada pembentukan integriti sesebuah negara. Pelaksanaan sebarang denda dan hukuman wajarnya dilakukan dengan adil dan saksama serta tidak wujudnya sebarang pilih kasih terutamanya dikalangan golongan atasan.

3. Pengukuhan institusi kewangan

Faktor yang menyuburkan potensi pertumbuhan di Malaysia ini adalah disebabkan sistem kewangan yang kukuh dan stabil yang dikawalseliakan. Ini dapat meyakinkan para pelabur asing untuk berurusan di negara ini kerana faktor keselamatan dan kestabilan terjamin. Tindakan ini diharapkan agar sektor kewangan lebih efisyen dan seiring dengan keperluan ekonomi semasa.

4. Memperhalusi kaedah pelaksanaan di setiap Wilayah Pembangunan Koridor

Wilayah Pembangunan Iskandar(WPI), Wilayah Pembangunan Ekonomi Utara(NCER), Wilayah Pembangunan Ekonomi Timur(ECER), Koridor Pembangunan Sabah(SDC) dan Sarawak Corridor of Renewable Energy(SCORE) seperti mana yang telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi seharusnya diperincikan kembali cara pelaksanaannya dalam memberi impak yang maksima kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Projek mega ini jika diperhalusi dapat memberikan pulangan yang lebih besar kepada Malaysia kerana ia secara tidak langsung dapat menjamin kepercayaan pelabur-pelabur luar untuk mencurahkan tenaga pakar mahupun melabur dari segi kewangan di negara ini.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, Transformasi Ekonomi Malaysia merupakan satu cabaran yang perlu dilihat dari sudut yang positif. Transformasi Ekonomi Malaysia memerlukan komitmen padu dan strategi yang khusus agar segala aspek dapat disentuh dan dibangunkan. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor ekonomi. Pemerintah Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak seharusnya bersama-sama barisan kabinet melihat Trasnformasi Ekonomi Malaysia sebagai satu komitmen yang serius dan mendatangkan impak jangka masa panjang terhadap ekonomi Malaysia. Pihak pemerintah dan rakyat Malaysia perlu bersatu hati dan berusaha bersungguh-sungguh supaya setiap perancangan dapat diterjemahkan ke dalam bentuk keputusan iaitu sehingga prestasi ekonomi Malaysia berada pada tahap yang boleh dibanggakan.

Ringkasan Eksekutif

Kertas kerja Transformasi Ekonomi Malaysia Ke Arah Persaingan Kompetetif merupakan satu usaha kami,Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Pahang(MPP UMP) menyuarakan pandangan kami mengenai situasi ekonomi di Malaysia melalui kaca mata sebagai mahasiswa dan peranan pihak pemerintah untuk bersama-sama mengambil tindakan demi kebaikan Malaysia. MPP UMP sebagai wakil kepada instituisi universiti teknikal perlu bersama-sama dengan pihak pemerintah untuk kita bergandingan menyelesaikan kemelut masa kini.

Di dalam kertas kerja ini, kami MPP UMP menggariskan kesan kepada pelaksanaan Transformasi Ekonomi Malaysia yang akan membuka lebih banyak peluang kepada seluruh rakyat Malaysia. Transformasi ekonomi Malaysia bukanlah ancaman kepada or ang melayu malah inilah peluang kepada seluruh rakyat Malaysia kepada amalan politik baru dan sistem tadbir urus( governan) yang lebih adil dan bijaksana.

Kepercayaan dan tarikan pelabur asing bagi merancakkan ekonomi Malaysia sangat di beratkan. Penilaian kepada setiap projek akan membantu Malaysia lebih berperanan dalam meyakinkan pelabur asing seterusnya mengangkat prestasi ekonomi malaysia ke tahap tertinggi.

Dengan sumber asli yang banyak, Malaysia merupakan negara berpotensi besar untuk berkembang lebih kehadapan.berbanding negara-negara lain. Malaysia memerlukan Transformasi Ekonomi dari sudut sistem governan yang lebih efisyen dan berdaya saing. Apabila sistem urus tadbir ditentukan oleh orang-orang yang mempunyai kepakaran, keyakinan pelabur akan bertambah dengan sendirinya.

Seharusnya, pemerintah Malaysia mesti mengambil tindakan serius agar dapat ,mengatasi krisis ekonomi yang melanda hampir semua negara.

No comments: