Monday, August 10, 2009

Kes Maut H1N1 meningkat 32

Lima lagi mati, kes terkumpul hidap Influenza A bertambah 1,983 orang

KUALA LUMPUR: Lima lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian meningkat kepada 32 orang di seluruh negara. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata sejumlah 203 kes baru H1N1 dilaporkan dengan semuanya adalah kes tempatan membabitkan rakyat Malaysia, menjadikan jumlah terkumpul kes H1N1 bertambah kepada 1,983 kes. "Daripada lima kematian itu, hanya satu kematian yang berlaku pada 9 Ogos, manakala yang lain adalah kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan secara rasmi ada kaitan dengan jangkitan H1N1 pada 7 dan 8 Ogos.

"Tarikh kematian sebenar lima kes itu adalah dua kematian pada 5 Ogos, diikuti dua kematian pada 8 Ogos dan satu kematian pada 9 Ogos. Majoriti kes kematian membabitkan mereka yang berisiko tinggi seperti berpenyakit kronik dan warga tua," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Beliau berkata, seramai 67 pesakit sedang dirawat di hospital dan 15 lagi dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). "Daripada 15 kes yang berada di ICU, enam daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu tiga kes mempunyai penyakit kronik dan masing-masing satu kes obesiti, selepas bersalin dan bayi," katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta pesakit dan mereka yang mempunyai hubungan dengan pesakit H1N1 supaya mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan. "Jika mereka tidak mengikut arahan, ia akan membahayakan orang lain dan menyebabkan penularan yang lebih teruk," katanya. Berikutan kes yang semakin meningkat, beliau berkata, kementerian akan mendapatkan bantuan doktor di hospital dan klinik swasta membantu merawat pesakit H1N1 serta melaporkan segera kes berkenaan. "Rakyat jangan panik kerana kadar kematian penyakit ini sangat rendah dan kematian banyak membabitkan golongan berisiko. Keadaan wabak ini juga masih terkawal.

"Apa yang penting, semua pihak perlu menjaga kebersihan dan mengambil langkah tertentu seperti kuarantin diri, elak berkunjung ke tempat awam dan dapatkan rawatan segera jika mempunyai tanda wabak," katanya.

No comments: