Wednesday, April 20, 2011

Andai Ini Takdirnya

copy paste from blog yien 
Matanya asyik memandang jam tangannya. “Baru 10 minit. Tak mengapa, sabar dulu.” Jus oren di hadapannya dihirup perlahan sambil memerhatikan pengujung restoran yang kian lengang, tak seperti kebiasaannya. Selepas sejam setengah, baru orang yang dinantinya tiba, ditemani oleh rakannya yang turut dikenalinya. “Baru nak balik…”

“Assalamualaikum, maaf lewat. Lama Faiz tunggu? Ada hal tadi.”

“Waa’laikumussalam. Tak mengapa, sejam setengah sahaja.” Entah ikhlas memaafkan atau sekadar menyindir. “Tempah la dahulu. Kemudian baru kita bincang.” Selepas membuat tempahan makanan, Faiz bersedia untuk memulakan bicara.

“Sebenarnya Faiz panggil Nadia ke mari untuk bincang sesuatu yang penting. Faiz memang tak pandai go around the bush, jadi Faiz rasa baik Faiz straight-to-the-point. Sebenarnya, Faiz dah lama menyimpan perasaan pada Nadia. Bukan sejak kita pertama kali jumpa, tetapi setelah kita bekerjasama dalam menjayakan Kem Pemimpin Muda di Pulau Pangkor dulu. Perwatakan Nadia ketika itu buat Faiz tertarik pada Nadia untuk terus mengenali diri Nadia. Maaf jika ini dikatakan kurang sopan, tetapi Faiz ikhlas ingin menjadikan Nadia sebagai menantu kepada ibu bapa Faiz.”

Nadia yang pada mulanya begitu tenang, terus berubah riak wajahnya. Mukanya yang semula jadinya hitam manis bertukar merah. Safiah di sebelahnya pula mula mengekek ketawa.

“Faiz bukan paksa Nadia untuk terima Faiz sekarang. Faiz akan bagi Nadia masa. Fikirkanlah yang terbaik untuk masa depan Nadia. Masa depan kita. Buatlah solat istikarah, dan jika perlu, bincanglah dengan mak ayah, kemudian baru beritahu saya jawapan Nadia. Faiz bukan mahu janjikan janji-janji manis tetapi hanya sekadar luahan hati untuk melengkapkan sebahagian agama Faiz.” Sebaik sahaja Faiz menuturkan kata-kata itu, tempahan mereka sampai dan tiada lagi perkataan yang terkeluar daripada mana-mana mulut, baik Faiz atau Nadia mahupun Safiah. Selepas habis makan, Nadia terus memohon untuk pulang kerana sudah hampir tengah malam.

Sejak pertemuan di restoran itu, isu itu tidak pernah lagi ditimbulkan. Faiz pun tak pernah berani untuk bertanyakan kepada Nadia tentang keputusannya. Hari kuliah tetap diteruskan seperti biasa. Walaupun mereka kerap bertemu dan bertanya khabar sama ada bersua muka ataupun secara online, soal hati dan perasaan itu tetap tidak pernah ditimbulkan lagi.

“Hari ini aku akan tanya dia. Dah tiga bulan. Tak cukup lagi ke masa untuk dia fikirkan jawapannya?” Jadi, Faiz segera mengambil telefon Nokianya dan mendail nombor Nadia.

“Assalamualaikum”

“Waa’laikumussalam. Nadia sibuk ke? Kalau sibuk, Faiz boleh telefon lain kali.”

“Eh, tak mengapa. Nadia baru habis buat lab report. Sekarang tengah rehat. Ada apa Faiz telefon ni?”

“Emm, ok. Faiz telefon Nadia sebab… Macam ni, macam mana dengan luahan hati Faiz? Nadia dah ada jawapannya? Dah 3 bulan masanya. Masih tiada jawapan lagi ke?” tanya Faiz dengan penuh pengharapan.

Situasi senyap. Setelah beberapa ketika berdiam diri, akhirnya Nadia menjawab ”Kalau tentang hal itu, Nadia minta maaf sangat-sangat. Nadia memang ada buat istikarah tapi tak pernah tanya mak dan abah sebab Nadia rasa tak perlukan libatkan mereka tentang benda ni. Jawapannya tidak buat masa ini. Nadia nak kejar cita-cita Nadia dahulu. Sanggup ke Faiz nak tunggu? Nadia ada 5 tahun lagi nak habis belajar.”
“Lagipun, jujurnya Nadia tak berapa percaya pada perasaan Faiz tu sebab Nadia tak nak mula percaya dengan janji manis lelaki. Mungkin perasaan Faiz tu sebab kita rapat sahaja. Ramai dah kawan Nadia yang kena tipu dengan kata-kata manis bicara kaum Adam. Nadia tak mahu jadi macam tu. Harap Faiz faham.”
“Namun, Nadia tetap percaya andai ada jodoh, pasti akan bersama juga akhirnya. Kalau ada jodoh, tak perlu bercinta atau bercouple pun, akan bersatu juga. Dan kalau tiada jodoh, walaupun bercinta sampai tak ingat dunia pun tetap akan berpisah. Jadi buat masa ini, Faiz, tak perlulah fikirkan pasal benda ini. Malah Nadia rasa yang Faiz boleh cari yang lebih baik dari Nadia.”
“Nadia minta maaf andainya Faiz tertunggu-tungu dengan jawapan Nadia. Dan inilah jawapan Nadia Buat masa ini. Biarkan hubungan ini kekal sebagai sebuah persahabatan dan Nadia harap agar Faiz tak menunggu Nadia. Andai ada hati lain yang datang, janganlah tutup pintu hati Faiz untuk terima orang lain semata-mata untuk tunggu jawapan Nadia.“

“Pergh, panjang pulak jawapan dia ni. Dah macam gaya ustazah pun ada ini. Memang tak salah pilihan aku.” bisik hati Faiz. “Terima kasih atas jawapan itu. Faiz terima keputusan Nadia. Buat masa ini, Faiz tetap pilih Nadia. InsyaAllah, Faiz akan terus tunggu. Thanks again for your answers. Assalamualaikum.”

Selepas dijawab salamnya, Faiz mematikan panggilan dan meletakkan telefonnya di atas meja. Setelah agak lama duduk menenangkan diri di birai katil, Faiz bangun dan menuju ke bilik air. Wuduk diambil dan solat sunat dilaksanakan. Diakhir solat, dia membaca doa…
“Ya Allah, aku ini buntu dengan hatiku sendiri. Namun Kau jua yang sentiasa menunjukkan aku jwapan yang sebenar. Andai kata dialah jodohku, permudahkanlah urusan kami berdua, satukanlah hati kami di jalan yang Kau redhai. Namun, andai bukan dia untukku, damaikan hati ini dengan ketentuanMu, dan dekatkanlah hati ini dengan jodohku yang sebenar…”



“Wah, pantas sungguh masa berlalu. Sedar tak sedar, dah empat tahun aku di sini. Aku bakal meninggalkan bumi USM dan menjejakkan kaki aku ke dunia sebenar, menjadi seperti Mac Taylor” monolog hati Faiz. “Apa kata balik bilik nanti, aku nak layan cerita CSI:NY. Lama sudah rasanya aku tak tengok cerita itu.” Sampai sahaja ke rumah sewanya, Faiz terus menghidupkan komputer ribanya dan mencari fail drama kesukaannya itu. Sedang dia kusyuk menonton sambil mengungah Twisties, notification Skypenya berbunyi. “Siapa pula yang kacau aku tengok drama ini. Kang aku gigit kepala budak ni.”
Melihat mesej datang daripada insan yang lama menyepi, Faiz menjadi kaku sebentar.Nadia… Mengapa kini baru nak mesej semula? Mesti ada hal penting.

“Waa’laikumussalam. Ya, Nadia. Ada apa ya?”

“Faiz sihat? Lama tak dengar cerita daripada Faiz”

“Ana bikhair, Alhamdulillah. Nadia pula bagaimana?”

“Wah, dah hebat berbahasa Arab sekarang. Nadia pun sihat, Alhamdulillah. Ganggu ke ni?”

“Eh, tak mengapa. Saya tak buat apa pun. Cuma sedang tengok CSI:NY. Ada apa ya, Nadia?”

“Hari Sabtu nanti, adakah Faiz sibuk? Nadia nak berjumpa dengan Faiz. Ada perkara yang mahu dibincangkan.”

“Perkara apa ya?”

“Adalah. Boleh tak?”

“InsyaAllah. Di mana dan pukul berapa?”

Setelah tempat dan masa pertemuan ditetapkan, Faiz menamatkan perbualan dengan memberi salam dan meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dan terus menyambung drama CSInya yang tergendala tanpa memikirkan langsung tentang perkara yang mungkin ingin dibincangkan oleh Nadia.

Hari yang dinanti tiba jua akhirnya. Selepas berbual dengan Faiz melalui Skype tempoh hari, ketibaan hari Sabtu ini bagaikan bertahun lama rasanya. Malah lebih mendebarkan bagi Nadia berbanding ketika dia ingin mengambil keputusan SPMnya dahulu. Bertemankan Safiah menanti ketibaan Faiz, Nadia terkenang semula ketika saat dia yakin yang dia telah jatuh hati pada seorang lelaki bernama Muhamad Faiz Fazhil. Tindakannya tiga bulan lalu yang sanggup bertarung nyawa menyelamatkan seorang kanak-kanak melintas jalan di hadapannya daripada dilanggar sebuah kereta telah menambat hatinya. Kanak-kanak itu cedera ringan tetapi Faiz cedera parah. Dua hari Faiz terlantar koma di hospital. 
Alhamdulilah, Allah memberikan peluang kepada Faiz untuk meneruskan kehidupannya. Sejak daripada hari itu, Nadia telah jatuh cinta kepada lelaki tersebut.

Tepat jam 2.00 petang, raut wajah yang dinanti tiba juga. Setelah nampak Safiah yang bangun melambai-lambai tangannya, Faiz bergerak ke arah mereka. “Assalamualaikum. Maaf lewat.”

“Waa’laikumussalam, takde lah. Kami pun baru sampai lagi. Punctual betul Faiz ini. Dari dulu sampai sekarang, tak pernah berubah. Bagus.” Jawab Safiah.
Setelah menempah makanan, Faiz yang memulakan bicara. “Ada apa yang ingin dibincangkan lagi? Setelah begitu lama kita langsung tak bertegur sapa. Saya ingatkan Nadia marah pada saya lagi.”

Seolahnya, mimik muka Nadia seperti ingin mengeluarkan jawapan bagi soalan faiz itu, namun tiada apa yang terkeluar daripada mulutnya. Setelah hampir 3 minit begitu, Safiah yang mengambil langkah menjadi tukang bicara Nadia. “Macam ni Faiz. Disebabkan mak cik ni sangkut pulak otak dia sekarang ini, biar Safiah je yang tolong cakapkan. Dia dah ada jawapan untuk luahan hati kamu setahun yang lalu. Dia dah bersedia untuk disunting. Jadi lepas ni, Faiz bolehlah berjumpa dengan bakal mertua untuk membincangkan perkara selanjutnya. Faham?”

Nadia yang duduk disebelah Safiah terus tertunduk menahan malunya melihat Safiah begitu tenang menyampaikan suara hatinya. “Relax je budak ni cakap. Takde nak bertapis langsung. Aku segan ni. Siap kau balik nanti aku gusti.”

“Kenapa senyap pula ni? Kamu pun dah terlebih gembira sampai tak boleh nak cakap apa-apa juga ke?” ucap Safiah yang meihat Faiz terus senyap selepas dia menerangkan alasan pertemuan ini.

“Saya nak makan dulu boleh? Lapar. Hehe.”

Sepanjang menjamu selera, Faiz terusan dalam keadaan senyap kecuali ketika di tanya tentang kehidupannya kini. Sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawabnya. “Kenapa Faiz ni? Takkanlah gembira sampai tak boleh nak cakap banyak kot? ” desis hati Nadia. Selepas membaca doa selepas makan, Faiz membetulkan posisi duduknya, ingin memulakan bicara.

“Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga jawapan awak. Saya gembira dan terharu dengan jawapan awak ini, jujur. It’s always better late than never, right?” Senyuman Nadia semakin mekar apabila mendengar jawapan daripada Faiz. “Namun, sebenarnya saya telah pun memberi jawapan kedua pada awak. Melalui surat yang saya kirimkan kira-kira 5 bulan yang lalu. Saya rasa seeloknya awak pulang nanti, bacalah surat itu kalau awak masih menyimpannya. Kemudian baru awak hubungi saya semula. Boleh?”

Riak wajah keriangan Nadia berubah menjadi berkerut, mengingatkan kembali surat yang dihantar oleh Faiz. Baru dia teringat yang dia ada menerima sepucuk surat daripada Faiz ketika hari ulang tahun lahirnya namun tak pernah dibuka surat itu. Sejurus, sampai ke rumah selepas pertemuan dengan Faiz tadi, Nadia bergegas memasuki biliknya untuk mencari surat tersebut. Habis digeledah seluruh biliknya demi mencari surat tersebut. Setiap laci diperiksa, setiap buku diselak dengan harapan menemui surat tersebut. Akhirnya, dia menemui sepucuk surat sampul berwarna putih yang tertulis,


Kepada: Nurul Nadia Yusuf
Daripada: Muhamad Faiz Fazhil”


Assalamualaikum,
Apa khabar Nadia? Begitu lama rasanya kita tak bertegur sapa atau bertemu selepas panggilan telefon dua bulan lepas. Saya harap agar Nadia terus sihat dan ceria seperti mana saya pernah mengenali Nadia. Moga terus diberi kesihatan jasmani dan rohani di bawah naungan cintaNya. Saya dahulukan ucapan maaf saya jika surat ini mengganggu ketenangan Nadia mengejar cita-cita Nadia tapi saya harapkan agar Nadia baca sehingga habis dahulu. Saya juga memohon maaf andainya luahan perasaan saya membuatkan Nadia berkecil hati dengan saya.
Ketika saya mendapat jawapan dan penerangan melalui panggilan telefon itu, saya benar-benar tergamam bagaimana agaknya cara yang boleh membuatkan Nadia percaya pada kata-kata saya. Saya memang ikhlas dan jujur ingin menjadikan nadia sebagai pasangan hidup saya tetapi saya buntu memikirkan cara terbaik. Mendengar jawapan nadia membuatkan saya bermuhasabah diri kembali. Jadi selama dua bulan ini, saya banyak memuhasabahkan diri saya sendiri.
Alhamdulillah kini saya sudah pun menemui jawapan saya. Jadi dengan surat ini, saya memohon maaf atas luahan perasaan saya semasa di restoran dahulu dan semasa panggilan telefon itu. Saya juga tahu ketika ini, awak masih belum ada perasaan sayang kepada saya melebihi daripada perasaan seorang sahabat sahaja.
Sebenarnya, ketika saya meluahkan perasaan kepada Nadia di restoran itu, ayah saya telah pun ingin menikahkan saya dengan anak sahabat lamanya tetapi saya memberitahu dia tentang Nadia dan memintanya untuk menangguhkan keputusannya. Kerana saya inginkan jawapan daripada Nadia dahulu. Kemudian, walaupun setelah mendengar jawapan awak daripada pebualan kita di telefon itu, saya masih yakin dengan keputusan saya untuk menunggu jawapan Nadia. Namun ketika saya sedang membaca tafsir Quran, saya ketemu dengan ayat ini, “Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah. Al Baqarah:216)
Jadi saya melakukan semula istikarah untuk mendapatkan jawapan yang terbaik. Alhamdulillah, saya telah pun mendapat jawapannya. Saya bersetuju dengan calon yang ayah perkenalkan. ketika saya menulis surat ini, saya telah pun menjadi tunangan orang. Saya harapkan agar Nadia rahsiakan dahulu tentang benda ini. Nanti bila tiba masanya, saya akan menjemput Nadia dan kawan-kawan kita yang lain ke majlis saya nanti.
Sebagai penutup bicara, saya doakan agar Nadia dapat terus mengejar cita-cita Nadia dan semoga Berjaya menjadi doctor yang terus berkhidmat kepada masyarakat. Bilangan doctor perempuan Muslim memang tak ramai di Malaysia ini. Saya juga mendoakan agar Nadia terus menjadi mawar berduri yang terus mekar di jalanNya. Jangan pernah menyerah kalah kerana saya tahu bahawa Nadia ingin menjadi seperti Amni dalam buku “Stanza Cinta”, terus tabah menghadapi dugaan hidup walaupun berbagai-bagai dugaan datang menimpa. Tak lupa juga, semoga Nadia menemui jodoh Nadia yang sebenar nanti. Jemputlah saya bila majlisnya nanti ya? Biar saya jadi jurugambar perkahwinan Nadia nanti. Hehe.
Itu sahaja yang mampu saya nukilkan dalam surat ini. Moga sukses selalu. Assalamualaikum
PS: Selamat Hari Lahir.

Daripada,
Faiz (23 Mac 2012)

Berjurai air mata Nadia membaca ayat terakhir surat Faiz. Tiada ungkapan yang boleh dituturkan untuk meluahkan betapa hancurnya hatinya saat itu. Tiada kata yang boleh diluahkan selain air matanya yang terus menitis ke lantai. Andai ini takdirnya…


p/s: Apa yang ditentukan oleh Allah, itulah yang terbaik kan

2 comments:

Anonymous said...

ya la..qada' dan qadar

tapi la kan..kalau Nadia suka Faiz, mesti awal2 dia cepat2 baca surat dari Faiz bila dapat surat tu kan? kata suka, tapi tangguh sampai tak baca tu rasa mcm pelik..haha
p/s : laki2 suka detail/hubung kait..pmpn suka layan feeling tak kira la cerita drama tu logik ka tak..kan? My perspectives

izzah said...

erm depends on your perspective.. but very nice cerpen sbb kalo sy satu 1 cerpen pun blm tentu boleh tulih..